Showing posts with label ad-Deen. Show all posts
Showing posts with label ad-Deen. Show all posts

Monday, March 29, 2010

Dialog Inter-`Aqidah

Seorang paderi dan seorang Maulana sedang berdialog, dalam satu majlis perbandingan agama di suatu tempat di India..

Paderi: Wahai Maulana, sewaktu Hussein, cucu Rasulullah sollalLahu `alayhi wasallam dibunuh, di manakah Baginda berada pada saat itu?

Maulana: Tentulah Baginda sedang berada di sisi Allah subhanahu wata`ala...

Paderi: Kalau begitu, mengapa Baginda tidak meminta tolong Allah untuk menyelamatkan cucu Baginda?

Maulana: Pada saat itu, Allah sedang menangis..

Paderi: Allah menangis? Apa maksud Maulana?

Maulana: Allah berkata, "Wahai Muhammad, sedangkan anak-Ku Jesus tidak mampu Aku selamatkan ketika Baginda disalib, inikan pula Aku selamatkan cucumu?"


Merasakan dirinya tertampar dengan jawapan Maulana, si paderi lantas mengajukan soalan lain buat Maulana.. Mereka terus berdialog. Perbahasan berlangsung dengan hangat, hujah dipatahkan dengan hujah, sehingga kelihatan, tiada tanda ada pihak yang akan rela hati mengundur diri..

Tiba-tiba, seorang lelaki, pembantu Maulana naik ke pentas, dan membisikkan sesuatu ke telinga Maulana. Sejurus itu juga, wajah Maulana bertukar menjadi pucat, lidahnya kelu tak berkata-kata..

Paderi: Maulana.. Kenapa? Apa yang berlaku?

Maulana terus mendiamkan diri..

Paderi: Maulana, ceritakan pada saya, apa yang berlaku?

Maulana masih termenung, tidak berkata apa-apa..
Setelah terus didesak oleh paderi, akhirnya dia menangis..

Maulana: Saya dapat berita, malaikat Jibril baru sahaja meninggal di syurga.

Si paderi lantas tertawa mendengar kata-kata Maulana, sambil bersuara,

Paderi: Maulana, bukankah kamu seorang yang berpelajaran tinggi? Bagaimana kamu boleh percaya akan berita itu? Mana mungkin malaikat boleh mati?

Si paderi terus ketawa.

Maulana: Wahai paderi, lupakah kamu, sedangkan Jesus, anak Tuhan boleh mati, inikan pula malaikat Jibril?

Friday, November 13, 2009

6 minit lagi.. Tsunami!

Dengan nama Allah, Yang menurunkan air hujan berperingkat-peringkat, bukan melalui satu simbahan..



*Gambar: Pelajar-pelajar UNAN di hadapan bangunan tutorial yang sebahagiannya telah musnah.


Kampus kami menerima kehadiran lebih 20 orang pelajar baru, pelajar-pelajar perubatan yang dahulunya menuntut di UNAN(University of Andalas, Padang). Selepas peristiwa gempa bumi tempoh hari, pelajar-pelajar Padang yang dihantar pulang ke Malaysia diberi pilihan, sama ada untuk meneruskan pengajian di sana atau menerima tawaran ke universiti kami.

Memang menjadi rutin mingguan di kampus untuk memulakan sessi pembelajaran dengan tazkirah, sekali setiap minggu. Suatu pagi, 3 orang pelajar dari UNAN tampil ke hadapan untuk berkongsi pengalaman mereka menghadapi peristiwa gempa bumi di Padang.

Tazkirah dimulakan dengan slide show gambar-gambar fakulti, rumah kediaman, serta bangunan-bangunan berdekatan yang telah musnah.. Rumah 3 tingkat runtuh menjadi satu, tingkat teratas jatuh menghimpap tingkat 1 dan 2.. Kawasan kampus menjadi lapang dek hilangnya beberapa fakulti, secara automatis mewujudkan satu 'short cut' dari asrama ke bangunan lain.. Kelas-kelas pengajian diteruskan di bawah khemah-khemah kecil..

"Kami bertiga adalah antara Perwakilan Pelajar di sana. Justeru, kami perlu sentiasa meninjau tapak kejadian untuk membuat laporan semasa kepada pihak kedutaan. Nak tak nak, kami terpaksa keluar masuk teaching hospital, tempat kami belajar, walaupun keadaan amat merbahaya. Di hospital, pesakit-pesakit tidak sempat diselamatkan berikutan kejadian gempa yang tidak disangka-sangka. Ramai pesakit terkorban. Ambulans tidak putus-putus singgah dan pergi.. Menghantar mangsa-mangsa gempa yang entah punya tempat atau tidak di hospital tersebut."



"Sebaik sahaja melangkah masuk ke pintu hospital, sesiapa sahaja boleh termuntah. Bau darah dan lumpur yang memenuhi ruang hospital bercampur baur.. Sungguh meloyakan"

"Seorang wanita menangis bergulingan di atas tanah.. Kerana tidak mampu menyelamatkan anaknya.. Dalam keadaan kelam kabut begitu, kami tidak mampu berbuat apa-apa.. Kami hanya mampu berkata: Sabarlah bu.."

"Kami buntu.. Tiba-tiba sahaja, ada berita dari orang sekitar.. Tsunami akan datang 6 minit lagi!"

"TSUNAMI?"

"Allahuakbar.. Saat itu, benar-benar terasa hampirnya kematian. Terkenang kembali dosa-dosa diri. Takut mengingatkan diri yang belum bertaubat.. Saat itu barulah wajah ibu datang menyinggah..Tak sempat dah nak buat panggilan ke Malaysia.."

Selesai sahaja tazkirah tersebut, seorang sahabat perempuan UNAN tidak sedarkan diri. Matanya celik tetapi fikirannya tidak sedar apa yang berlaku. Dia langsung dibawa ke Hospital Putrajaya dan perlu dirujuk ke Psychiatrist di sana. Sahabat tersebut mengalami Post Trauma Syndrome yang kuat. Dia pitam dalam perjalanan ke sana.

Sahabat-sahabat UNAN menyimpulkan, peristiwa tersebut adalah amaran yang hebat dari Allah.. Di Padang,ramai yang beragama Islam, tetapi penuh dengan amalan-amalan khurafat.

Allahuakbar.. Gegaran yang teramat kecil di sisi Allah, tetapi tidak mampu tertanggung oleh kita, hamba yang teramat lemah.. Bayangkan diri sendiri yang berada dalam keadaan tersebut.. Adakah kita sudah bersedia dipanggil pulang menghadap Allah, dalam keadaan diri yang tidak lepas dari dosa? Taubat sering dimungkiri? Tangisan keinsafan berselang seli dengan nodanya hati?

Kita kenal hati kita.. Kita tahu amalan kita.. Kita sesungguhnya belum bersedia membawa segala rekod dan akaun amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah..

"Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri.. Seandainya Engkau tidak mengampuni dan merahmati kami, nescaya kami adalah dari orang-orang yang rugi.."




*Gambar: Kalimah Allah disaksikan tertera di langit, beberapa hari selepas kejadian.

Sunday, October 25, 2009

Menghayati hakikat Ikhlas pada perjuangan mujahidin Palestin

Dengan nama Allah, yang sesungguhnya berada dekat dengan hamba-Nya...

Nasihat Luqman al-Hakim,
“Wahai anakku, dampingilah selalu para ulama dan jangan engkau banyak berdebat dengan mereka agar jangan dibenci oleh mereka”.

Peluang untuk berdamping dengan orang-orang yang soleh adalah suatu rahmat yang cukup besar bagi golongan yang sentiasa rindu untuk menikmati manisnya iman. Apatah lagi berpeluang mendengar nasihat-nasihat dari pejuang-pejuang yang cukup matang dalam medan jihad yang sebenar.. Sahabat saya pernah bercerita, dalam suatu kuliyah umum Zainab al-Ghazali, apabila beliau menyebut kalimah ‘iman’, satu dewan secara tiba-tiba dapat merasakan apa itu iman.. seolah-olah ada satu paduan tenaga masuk ke dalam hati semua yang hadir.. Subhanallah..



Pada suatu malam yang hening

Alhamdulillah, Allah telah memberi keizinan kepada saya bersama-sama dengan 10 sahabat yang lain untuk mendengar tazkirah ringkas dari seorang ikhwah Palestin, Dr Said dalam liqa’ kecil kami pada suatu malam. Beliau baru sahaja beberapa jam tiba dari Gaza. Lain dari yang lain, sebelum beliau menyampaikan tazkirah, terlebih dahulu kami mengaminkan bacaan doa Rabithah yang diimami Dr Said. Saat itu, kami merasakan jiwa berada dekat dengan para mujahidin di seluruh Dunia. Masakan tidak, doa yang kita ulang setiap hari di Malaysia rupa-rupanya turut diulang-ulang oleh para mujahidin yang berada di Gaza, Mesir, Syria, Yemen, Jordan, UK, USA, Ireland, Indonesia, Singapura dan di setiap pelusuk dunia. Doa yang memohon hati-hati kita tertaut erat dalam cinta menegakkan perjuangan Islam. Terasa pentingnya ukhuwwah, kesatuan hati, wihdatul fikr dan wihdatul amal dalam perjuangan Islamiyyah.

Dr Said merupakan seorang doktor perubatan di Gaza, yang dihantar khas ke Malaysia untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD. Beliau juga bertugas sebagai pensyarah perubatan di IUG, Islamic University of Gaza. Istimewanya Fakulti Perubatan di IUG, hanya pensyarah yang mempunyai PhD sahaja dibenarkan mengajar di sana. Pelajar perubatan pula hanya dihadkan kepada 50 orang pelajar terbaik dari seluruh Palestin, 25 lelaki dan 25 wanita.

Golongan wanita dalam perjuangan

Dengan kuasa Allah, bayi-bayi yang dilahirkan di Palestin adalah lebih banyak lelaki berbanding perempuan. Ramai yang memandang fenomena ini sebagai hadiah dari Allah dalam menggantikan mujahid-mujahid Palestin yang syahid setiap hari.

Namun, Dr Said memandang perkara ini dari sudut yang berbeza. Beliau mengatakan, golongan wanita juga merupakan suatu penyumbang tenaga yang amat besar kepada perjuangan di Gaza. Dalam pilihanraya contohnya, golongan wanita akan turun sama berjumpa dengan wanita-wanita lain untuk memberi penjelasan dan meraih kepercayaan golongan wanita untuk meyokong jamaah Islam di sana, Hamas.

Satu ketakjuban di sana, beratus-ratus kanak-kanak Palestin berjaya menghafaz keseluruhan Quran dalam masa hanya 3 bulan! Allahuakbar.. dan peratusan tinggi daripadanya adalah kanak-kanak wanita.

Kadang-kala, kita terdengar ada dari kalangan dai’e yang istiqamah menyampaikan da’wah kepada masyarakat, namun tidak mampu membimbing isteri dan anak-anak di rumah. Namun, perkara ini tidak berlaku di Gaza, kerana apabila para suami berjuang di luar rumah, para isteri turut merancakkan lagi perjuangan Islam dengan menggunakan method yang berbeza.



Tidak letihkah mujahidin di sana?

Walaupun menghadapi sekatan bekalan makanan, sumber air, elektrik, makanan, sekatan pergerakan dan perhubungan, rakyat Gaza turut menjalani kehidupan harian sepeti biasa, seperti rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Dunia yang lain. Mereka keluar bekerja, belajar di sekolah dan university, serta tidak lepas daripada menghadiri usrah. Namun, bezanya rutin harian mereka diselang-selikan dengan aktiviti Jihad menentang rejim Zionist secara life. Ketika bangunan-bangunan dibom, dan saat-saat yang tidak aman, mereka bangkit bertindak balas. Setelah suasana agak tenang, golongan remaja yang tidak terkorban akan kembali ke universiti untuk menghadapi peperiksaan. Mereka meletakkan kesungguhan yang tinggi dalam menuntut ilmu sehingga masing-masing mencapai keputusan peperiksaan yang amat cemerlang. Matlamat mereka jelas, setiap bidang yang mereka ceburi adalah difokuskan kepada perjuangan Islam.

Allahuakbar.. Tidakkah mereka letih dengan rutin harian sebegini? Dalam keperluan asas yang benar-benar terbatas, mereka bukan sahaja perlu berhempas pulas dalam hal akademik, malahan pula perlu menentang kebatilan yang teramat nyata di hadapan mata.

Gambarkan pula suasana perjuangan Islam di Malaysia, kita fokuskan di alam-alam kampus. Aktiviti-aktiviti kita dipenuhi dengan perjumpaan-perjumpaan persatuan, gerak kerja da’wah, pilihanraya, meeting-meeting pimpinan, tamrin, usrah dan liqa’-liqa’ jamaah. Pada masa yang sama, kita juga melaksanakan peranan sebagai penuntut ilmu, sama seperti mahasiswa lain.

Kadang-kala kita sedikit kecewa apabila adik-adik usrah menarik diri dari liqa’ mingguan.. Kadang-kala kita berasa lemah apabila aktiviti yang dirancang tidak mendapat sambutan ramai.. Kadang-kala, iman kita teruji apabila keputusan akademik tidak memberansangkan.. Sehingga ada yang sanggup berundur dari perjuangan semata-mata ingin memperbaiki akademik atau yang lebih hebat lagi untuk merebut Anugerah Dekan.. Ataupun, ada pula yang sanggup berundur dari perjuangan menuntut ilmu, semata-mata mahu fokuskan pada perjuangan organisasi.



Hakikat Ikhlas

Dr Said berkata, bahawa di Gaza, para mujahidin tidak lagi memandang dunia sebagai halangan. Segala apa yang mereka lakukan adalah dalam cita-cita menggapai kecemerlangan di akhirat. Hidup mereka kerana Allah, mati mereka kerana Allah. Walau sekalipun al-Aqsa telah berjaya dibebaskan, perjuangan mengajak manusia menuju Allah ini tetap akan diteruskan.

Dalam sebuah hadith sohih, ada menceritakan, seorang hamba yang hidup senang lenang di Dunia, tetapi kufur kepada Allah, apabila Allah celupkan dia ke dalam satu kawah azab dengan hanya sekelip mata, kemudian Allah keluarkan semula dan apabila ditanya, pernahkah kamu merasai ni’mat Dunia? Lantas hamba itu menjawab, bahkan tidak sekali-kali.. Dan begitu juga sebaliknya.. bagi orang yang beriman setelah Allah tunjukkan ni’mat Jannah, walaupun hanya seketika, dia langsung melupakan segala keperitan hidupnya di Dunia.

Bagi mujahidin di Gaza, kekuatan mereka adalah Allah.. Kekuatan mereka adalah ukhuwwah Islamiyyah. Setiap kali solat berjemaah di Masjid, mereka merasakan kemenangan Islam semakin hampir, kerana bilangan jemaah di masjid adalah sangat ramai pada setiap waktu solat. Allahuakbar. Para jemaah yang hadir inilah menguatkan keyakinan mereka bahawa kebenaran Islam itu sentiasa disokong oleh ikhwah-ikhwah di seluruh Dunia.



Dr Said meninggalkan kami pada malam itu dengan sepotong hadith.. Cukup untuk kami bermuhasabah diri, akan status keikhlasan perjuangan kita selama ini..

Innamal a’malu binniyyat ... [ila akhirihi]

Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang ikhlas dalam perjuangan.. Sucikan hati kami, ya Allah dari kekejian sifat-sifat Mazmumah.. Hiasi diri kami dengan keindahan sifat-sifat Mahmudah..

Saturday, September 26, 2009

Strategi: Ke arah kecemerlangan akademik golongan "pelajar du`at"

Bismillahirrahmanirrahim..

Menjadi seorang pelajar, pada masa yang sama bergelar du`at, abnaul harakah, pimpinan universiti serta memikul tanggungjawab-tanggungjawab lain bukanlah suatu perkara yang remeh. Prestasi akademik yang cemerlang perlu dikekalkan, dan pada masa yang sama perlu diseimbangi dengan komitmen yang cemerlang pada taklifan lain. Persoalan yang sering menghantui, adakah kita punya masa yang mencukupi untuk mentelaah buku-buku rujukan yang pelbagai, dalam usaha mengekalkan kecemerlangan akademik?


Justeru, perancangan yang strategik wajib diatur oleh golongan pelajar du'at dalam memastikan tanggungjwb-tanggungjawab ini bukan sahaja berjaya dijalankn, malahan pula dilaksanakn dengan cemerlang.

Terlampau banyak soft skills yang kita perlukan sebagai bekalan, namun kurang berjaya dikuasai.. Contohnya adalah pengurusan masa yang baik, cara belajar yang efektif, kaedah speed reading, kemahiran mencatat nota yang sistematik dll.. Kemahiran-kemahiran ini amat diperlukan oleh golongan du`at dlm memastikan masa yang diperuntukkan untuk akademik dapat dimanfaatkan secara optimum. Kebijaksanaan du`at menyusun perjalanan hidupnya insya-Allah membolehkan 24 jam sehari-harian diisi dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab penting. Tidak hanya terfokus kepada mentelaah buku atau societies atau bersukan atau persatuan atau lebih malang lagi berehat semata-mata.


Bersesuaian dengan sunnah perjuangan Rasulullah sallahu `alayhi wasallam.. Seiring berdoa memohon pertolongan Allah, Baginda sentiasa melengkapkan pasukan perang kaum Muslimin dengan strategi-strategi peperangan amat sangat hebat.

Allah `azza wajalla sndiri telah mendidik Rasullah sallallahu `alayhi wasallam dengan strategi-strategi yang luar biasa bermula dari awal penurunan risalah kerasulan lagi. Bukti yang jelas adalah perintah awal penyebaran da'wah Islamiyah yang menyeru kepada kerahsiaan dalam usaha da'wah, sebelum perintah da'wah secara umum diturunkan.

Dengan izin Allah, strategi-strategi yang tersusun rapi inilah menjadi akar kepada kejayaan kelangsungan da'wah Islamiyah sehingga kita mampu meni'mati indahnya Islam sehingga hari ini. Sebaliknya, umat Islam sendiri mnjadi lemah apabila tiadanya strategi. Sebagaimana yang pernah terjadi dalam peristiwa kekalahan tentera Muslimin dalam perang Uhud apabila strategi yg telah disusun oleh Rasulullah sallahu `alayhi wasallam dilanggari.

Memetik kata2 Sayyidina Ali karamallahu wajhah..
Kebatilan yang terancang dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang..



Semoga sunnah perjuangan Rasulullah s.a.w ini dapat kita aplikasikan sebagai strategi dalam kita menempuh kehidupan bukan sahaja sebagai du`at di alam kampus, lebih besar lagi setelah kita benar-benar menempuh perjuangan hidup di luar alam universiti..

Saturday, August 1, 2009

Tak serupa.. tapi sama

Dengan nama Allah, yang Maha Memberi hidayah dan taufiq kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya..

Sejak berpindah ke sebuah IPT yang baru, jiwa sering kali bergelora.. Sedih, rendah diri, serta inferiority complex yang tinggi kerap datang berkunjung.. Apatah lagi perasaan rindu yang memuncak kepada sahabat-sahabat di kolej terdahulu.. Sahabat-sahabat yang sentiasa mendekatkan jiwa kepada Allah..

Di sini, rata-ratanya berasal daripada keluarga yang agak berada.. berpendidikan tinggi, berpakaian segak, happy-go-lucky, 'up-to-date' dengan perkembangan remaja zaman kini.. Perbezaan gaya hidup ini membuatkan jiwa saya sering rasa keseorangan, walaupun secara fizikalnya, ramai yang menyangkakan saya seorang yang ceria.

Ditambah pula dengan kebolehan berbahasa Inggeris yang tidak sehebat pelajar-pelajar lain, perasaan rendah diri sering menjadi perkasa, perkasa tapi kejam.. kerana telah membunuh semua prasangka-prasangka positif yang sepatutnya lebih dominan merajai minda.

Peringkat inferior ini tiba ke paras bahaya apabila turut membabitkan usaha-usaha da'wah fardiyah.. Saya benar-benar rasa 'tidak layak' untuk membimbing golongan-golongan sebegini. Dalam halaqah, kadang-kadang terasa kekok takut-takut apa yang disampaikan tidak searas dengan fikrah adik-adik usrah.


Suatu hari, saya luahkan dilema ini kepada Abi.. Jawapan Abi ringkas tetapi hati saya benar-benar tersentuh.. Alhamdulillah..

Di bawah ni adalah text YM asal dari Abi..

"Baru-baru ni, Abi pergi ke UK dan Ireland.. Perkara pertama yang Abi simpulkan setelah 3 minggu di sana adalah.. sebenarnya manusia ni semuanya SAMA..Cuma luarannya kadang-kadang nampak sedikit berbeza.

"Kulit"
"Bahasa"
"Kosmetik"
"Kostum"

"Tetapi manusia tu sama.. Pada yang sama ni lah Islam datang.. Datang membentuk jiwa.. keyakinan.. hati..Sebab jalan ke syurga tu sama je.. iaitu Islam"

"Soal semua akan melalui alam barzakh, alam mahsyar, alam akhirat.. semua sama"

"Sebab tu, ajaklah hati dan jiwa ke arah perkara tu.. Nampak kelihatan kawan-kawan di sekeliling kita berbeza, tetapi kekosongan di jiwa mereka.. perlukan ubat dan penawar yang sama"..



Terasa linangan air bertakung di mata..

"Ya Allah, terangilah hati-hati kami dengan cahaya hidayah-Mu, sebagaimana Engkau terangi Bumi dengan cahaya matahari-Mu dan bulan-Mu selama-lamanya.."

Tuesday, July 28, 2009

A secret of becoming a "Dean's List" student

Bismillahirrahmanirrahim..

This Entry is not written based on any research done by any professor, scholar, or even motivator. This is just a share of my thoughts based on some experiences I had along my journey in seeking knowledge.

Alhamdulillah, saya mengakhiri zaman pendidikan di peringkat rendah dengan keputusan peperiksaan yang agak memberansangkan.. 5A untuk UPSR, Jayyid Jiddan (88%) dalam PSRA dan 9A dalam PMR.

Namun, apalah erti kejayaan jika tidak pernah merasai kegagalan.. Maka, dalam peringkat persekolahan yang seterusnya, saya 'berjaya' menjatuhkan result peperiksaan demi merasai nikmatnya kejayaan setelah kegagalan.


Sejujurnya, saya melangkah masuk ke Tingkatan 4 dengan matlamat yang kabur.. Bukan tidak mempunyai cita-cita.. Tetapi tidak nampak bagaimana jalan untuk mencapai cita-cita tersebut.

Di sekolah, saya mengambil jurusan Sains Tulen & Agama. Bererti akan menduduki subjek Biologi, Kimia, Fizik, Syariah Islamiyah, Quran Sunnah, dan Bahasa Arab Tinggi di samping subjek-subjek asas dan subjek sampingan yang lain. Tradisi normal bagi pelajar-pelajar sains sekolah agama.

Pada awal-awal semester, atas beberapa masalah ketiadaan guru-guru sains di sekolah, kesungguhan saya dalam mempelajari subjek-subjek sains mula berkurangan.. Kesungguhan saya lebih cenderung pada bidang agama.



Dipendekkan cerita, saya beroleh keputusan SPM yang memang menarik.. Tidak stereotype, maka tidaklah membosankan.. [5A1, 4A2, 2B3, 1B4, 1C5]..
Yang cukup mengharukan, gred-gred yang rendah tersebut berjaya dirangkul oleh semua subjek sains.. Hmm.. Boleh ke nak jadi doktor ni?

Kuasa Allah tidak terjangka dek akal manusia.. Saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah Kolej Matrikulasi Awam.. suatu tawaran yang amat mengejutkan bagi seorang pelajar swasta, lebih-lebih lagi dengan result SPM yang amat "cemerlang". Kejutan ini telah membuatkan cikgu Biologi menelefon saya sejurus selepas berita ini sampai ke pengetahuannya, khas untuk mengucapkan tahniah.. Allahuakbar..!

Sekolah saya (swasta) yang bersifat antarabangsa jarang diberi pendedahan berkenaan IPTA memandangkan kebiasaannya pelajar akan menyambung pelajaran ke IPTS atau ke luar negara. Maka, sekali lagi saya melangkah masuk ke alam baru dengan halatuju yang kabur.. Saya tidak tahu apa itu matrikulasi, sistem pembelajaran di matrikulasi, dan lebih malang lagi, tidak maklum tentang penggunaan sistem pointer..

Sekali lagi, saya menerima tamparan hebat atas keputusan semester 1 yang tidak lepas 3.00. Keputusan yang tidak valid untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

Bukan tidak mahu berjaya, tetapi tidak tahu cara. Sepanjang minggu keputusan dikeluarkan, lama saya muhasabah diri.. Cari balik kesilapan2 lampau.. Kenapa semasa SPM dahulu, subjek2 diniyyah, mathematics, and all those 3 main languages.. boleh dapat A? Kenapa subjek2 sains tidak? Fikiran saya benar-benar buntu.. Saya benar-benar risau.. Syarat-syarat kelayakan untuk mengambil bidang perubatan adalah teramat tinggi. Bukan sekadar 3.8.. 3.9 pun belum tentu diterima masuk ke fakulti perubatan.. Inikan pula pointer saya yang tidak melepasi 3.00..

Dan lebih menakutkan lagi, sebagai seorang da`i, pencapaian akademik secara automatik akan dianggap adalah berkesinambungan dari aktiviti-aktiviti da'wah.. Jika baik akademik seorang da`i, maka dia menjadi qudwah yang baik kepada masyarakat awam. Masyarakat akan memandang tinggi usaha-usaha da'wah, bukan sahaja si da`i tersebut, malahan juga para du`at di seluruh dunia. Sebaliknya, jika pencapaian akademik adalah lemah, maka masyarakat akan berpandangan serong bahawa kerja-kerja da'wah tersebutlah yang menyebabkan kegagalan tersebut.

Pada saat itulah, tiba-tiba saya tersentak.. Kenapa saya hampir putus asa? Sedangkan sikap berputus asa adalah tegas dilarang dalam Islam. Saya ada Allah.. Kenapa tak ceritakan sahaja masalah pada Allah?


Suatu malam.. saya bersunyi-sunyian di dalam surau blok kediaman.. Dalam sujud, saya menangis sepuas-puasnya.. Mengadu segala apa yang terbuku dalam hati.. Minta Allah jauhkan keputusan peperiksaan saya dari mendatangkan fitnah kepada Islam.. Pohon hidayah dan taufiq dari Allah untuk mendapat kecemerlangan dalam iman dan akademik.. Pohon dibersihkan hati untuk menerima ilmu..

Satu kesilapan yang saya sedari, kadang kala, kerana inginkan bahasa yang cantik ketika menghadap Allah, kita malu untuk berdoa. Kerana inginkan bahasa yang berbunga-bunga, kita tidak mengadu dengan jelas dalam doa.. Sedangkan, Allah sentiasa faham akan apa yang kita perkatakan.. Tak kisah bahasa apa yang kita guna.. Walau bahasa isyarat sekali pun.. yang penting.. DOA!


Benarlah firman Allah...
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad)tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran"
(Al-Baqarah: 186)

Allahuakbar.. Hebat sungguh kekuasaan Allah.. Selepas itu, entah dari mana, terasa ada suatu tiupan semangat yang dingin dan menteteramkan masuk ke dalam jiwa.. Buat pertama kalinya saya benar-benar fokus sewaktu membuat ulangkaji.. Terasa keni'matan menuntut ilmu.. Jiwa benar-benar menikmati ilmu sebagai satu cahaya, bukan sekadar teori.. Allahuakbar.. Allahuakbar..!

Diringkaskan cerita, keputusan peperiksaan saya melonjak naik tanpa disangka-sangka.. Dan alhamdulillah, terbaru, Allah menanugerahkan CGPA yang agak baik.. CGPA yang termasuk dalam lingkungan Dean's List.. Semua itu bukanlah dari usaha kita sebagai hamba, tetapi adalah semata-mata dari rahmat Allah yang sentiasa menyayangi hamba-Nya..

"..Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah jadika baginya jalan keluar, dan Allah kurniakannya dari (jalan) yang tidak disangka-sangka.. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya.. "
(At-Talaq:2-3)