Asm Wbt
Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, Selawat dan salam buat Nabi Muhammad Rasul junjungan, ahli-ahli baginda dan para-para sahabat semuanya.
Saudara-saudariku sekalian,
Untuk sekian lama kita dipisahkan dengan passport dan visa, kita dipisahkan dengan bahasa dan bangsa, kita dipisahkan dengan warna kulit dan rupa paras, kita dipisahkan dengan titik-titik garisan pada peta dunia.. Sedangkan Nabi Allah Muhammad menyatukan kita sekaliannya daripada seluruh pelusuk bumi dengan kalimah LAILAHA ILLALLAH dan MUHAMMAD RASULULLAH.
Ketika anak-anak kita melangkah riang ke sekolah, ada kanak-kanak lain yang melangkah lemah dan dhaif. Ketika anak-anak kita gembira menghabiskan masa bermain komputer dan internet, ada kanak-kanak lain terpaksa menghabiskan masa membantu ayah dan ibu mencari sesuap pagi dan sesuap petang.
Demikian jugalah salah satu tuntutan agama kita, iaitu mengkhatankan anak laki-laki. Ketika mana anak-anak kita mengharungi proses khatan ini dengan teknik moden dan pembiusan yang menghilangkan rasa sakit, ada kanak-kanak yang masih terpaksa mengharunginya dengan kaedah tradisional puluhan tahun dahulu. Kaedah yang menyakitkan dan berisiko pula untuk mendapat pendarahan dan jangkitan kuman.
Di dalam sempadan Negara kita Malaysia, sejak tahun 1998 lagi sukarelawan-sukarelawan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), tanpa jemu dan penat meredah kampong dan desa yang terpencil, bahkan ke tempat penempatan Orang Asli setiap tahun, demi membantu menunaikan amalan sunnah yang dikira wajib oleh hampir semua mazhab dalam agama Islam.
Kita khatankan seorang anak lelaki, maka kesannya seumur hidup. Wudhuknya, taharahnya, solatnya, hajinya, bahkan jimaknya dengan isteri menjadi amalan sunnah yang lebih sempurna. Logiknya jikalau kita bantu khatankan seorang anak lelaki maka pahalanya insya allah berpanjangan.
Sejak tiga empat tahun yang lepas, sukarelawan-sukarelawan PAPISMA dengan kerjasama NGO-NGO lain telah mula merentasi sempadan-sempadan rekaan manusia untuk membantu kanak-kanak saudara-saudara Islam kita yang dhaif menjalani ibadah berkhatan ini dengan kaedah yang lebih moden dan selamat. Sukarelawan-sukarelawan kita pergi ke bumi Kemboja yang satu ketika pernah di nodai oleh regim Polpot, membunuh ratusan ribu rakyat Kemboja termasuk puluhan ribu umat Islam. Pengalaman saya sendiri menyaksikan masih terdapat beberapa orang dewasa yang berusia 20 ke 30an yang masih belum berkhatan sama ada kerana tidak mampu atau kerana baru memeluk Islam dan pasukan kami turut membantu mengkhatankan mereka.
Pada mulanya misi sukarela ini dibuat secara agak senyap kerana tidak mahukan populariti. Namun akhirnya kami menyedari bahawa semakin ramai manusia yang kita ajak untuk melakukan perkara kebajikan atau amal maaruf ini, maka semakin besarlah ganjaran yang Allah akan berikan. Oleh sebab itulah, sejak akhir tahun lepas kami mula memikirkan bagaimana untuk mengajak orang ramai turut beramal soleh membantu proses mengkhatan anak-anak Islam yang dhaif dari segi ekonomi ini.
Dari niat yang murni itu, maka lahirlah Pojek Khatan Nusantara. Tidak semua orang mampu mengkhatankan kanak-kanak kerana tidak semua orang mempunyai kemahiran itu. Tetapi ada banyak orang yang mampu dari segi kewangan untuk membantu mengeluarkan modal mengkhatankan kanak-kanak yang dhaif sumber kewangan itu. Oleh kerana PAPISMA mengumpulkan tenaga-tenaga kesihatan, maka kami mempunyai tenaga-tenaga sukarelawan untuk mengkhatankan kanak-kanak di rantau Nusantara yang dhaif kewangannya. Menyedari betapa perlunya kami melibatkan orang ramai ke arah usaha amal makruf ini maka kami membuka peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan kewangan.
PROGRAM KHATAN NUSANTARA YANG TERBARU INSYAALLAH AKAN DIADAKAN DI BUMI ACHEH, DI RUMAH ANAK YATIM YANG DITIMPA UJIAN TSUNAMI PADA TAHUN 2004 YANG LALU. INSYAALLAH, SUKARELAWAN KAMI AKAN KE SANA PADA BULAN OKTOBER 2011 NANTI.
Insyaallah juga, program Khatan Nusantara ini akan diadakan setiap tahun bagi menjelajahi negeri-negeri di Nusantara seperti Mindanao, Riau, Sabah, Sarawak, Kemboja, Vietnam, Thailand, Burma dan lain-lain bagi menyatakan bahawa kita umat Islam adalah umat yang satu, yang disatukan oleh dua kalimah yang begitu tinggi nilainya.
Oleh itu saya mengambil peluang sempena Ramadhan yang bakal tiba ini untuk menyeru kepada seluruh umat agar turut membantu melaksanakan amalan sunnah ini. Sumbangan Tuan boleh diberikan melalui akaun MayBank Papisma bernombor 5530 1010 8828 . Bagi mendapatkan sijil penuh yang diisi dengan nama kanak-kanak (insya allah, gambar dan cap jari juga kami cuba usahakan!) maka sumbangan penuh sebanyak RM100 diperlukan. Wang sumbangan akan digunakan bagi membeli peralatan dan ubatan berkhatan, membantu menaja pemergian adik-adik pelajar perubatan yang menjadi pembantu prosedur di samping sedikit saguhati kepada para sukarelawan. Sekiranya ada wang lebih akan disumbang pula kepada institusi Islam di sana .
Sebarang maklumat lanjut yang diinginkan oleh penyumbang seperti sijil atau pemakluman sumbangan di harap dapatlah para penyumbang sekalian menghubungi
1. Penyelaras dan Pengarah Program ini saudara MOHD FADLIYAZID, Hp: 0199859251 email: mafiya81@yahoo.com atau
2. Timbalan Penyelaras dan Timbalan Pengarah Program ini iaitu saudara NIK AZRIZIE, Hp: 0129524247 email: bestfikrah@yahoo.com .
Besarlah harapan saya agar sesiapa sahaja yang membaca atau melihat poster dan tulisan ini sudilah menyebarkannya seluas mungkin menggunakan segala medium yang ada seperti email, facebook, blog, website atau pun mencetak dan menampalnya ditempat-tempat yang sesuai. Mudah-mudahan bantuan Tuan akan menerima ganjaran daripada Allah SWT.
Sebagai akhirnya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mewakili Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia dengan ini melancarkan PROGRAM KHATAN NUSANTARA ini untuk disambut oleh semua kelompok umat yang prihatin.
Al-Faqir Ilallah
Presiden PAPISMA
2010-2012
No comments:
Post a Comment