Friday, November 13, 2009

6 minit lagi.. Tsunami!

Dengan nama Allah, Yang menurunkan air hujan berperingkat-peringkat, bukan melalui satu simbahan..



*Gambar: Pelajar-pelajar UNAN di hadapan bangunan tutorial yang sebahagiannya telah musnah.


Kampus kami menerima kehadiran lebih 20 orang pelajar baru, pelajar-pelajar perubatan yang dahulunya menuntut di UNAN(University of Andalas, Padang). Selepas peristiwa gempa bumi tempoh hari, pelajar-pelajar Padang yang dihantar pulang ke Malaysia diberi pilihan, sama ada untuk meneruskan pengajian di sana atau menerima tawaran ke universiti kami.

Memang menjadi rutin mingguan di kampus untuk memulakan sessi pembelajaran dengan tazkirah, sekali setiap minggu. Suatu pagi, 3 orang pelajar dari UNAN tampil ke hadapan untuk berkongsi pengalaman mereka menghadapi peristiwa gempa bumi di Padang.

Tazkirah dimulakan dengan slide show gambar-gambar fakulti, rumah kediaman, serta bangunan-bangunan berdekatan yang telah musnah.. Rumah 3 tingkat runtuh menjadi satu, tingkat teratas jatuh menghimpap tingkat 1 dan 2.. Kawasan kampus menjadi lapang dek hilangnya beberapa fakulti, secara automatis mewujudkan satu 'short cut' dari asrama ke bangunan lain.. Kelas-kelas pengajian diteruskan di bawah khemah-khemah kecil..

"Kami bertiga adalah antara Perwakilan Pelajar di sana. Justeru, kami perlu sentiasa meninjau tapak kejadian untuk membuat laporan semasa kepada pihak kedutaan. Nak tak nak, kami terpaksa keluar masuk teaching hospital, tempat kami belajar, walaupun keadaan amat merbahaya. Di hospital, pesakit-pesakit tidak sempat diselamatkan berikutan kejadian gempa yang tidak disangka-sangka. Ramai pesakit terkorban. Ambulans tidak putus-putus singgah dan pergi.. Menghantar mangsa-mangsa gempa yang entah punya tempat atau tidak di hospital tersebut."



"Sebaik sahaja melangkah masuk ke pintu hospital, sesiapa sahaja boleh termuntah. Bau darah dan lumpur yang memenuhi ruang hospital bercampur baur.. Sungguh meloyakan"

"Seorang wanita menangis bergulingan di atas tanah.. Kerana tidak mampu menyelamatkan anaknya.. Dalam keadaan kelam kabut begitu, kami tidak mampu berbuat apa-apa.. Kami hanya mampu berkata: Sabarlah bu.."

"Kami buntu.. Tiba-tiba sahaja, ada berita dari orang sekitar.. Tsunami akan datang 6 minit lagi!"

"TSUNAMI?"

"Allahuakbar.. Saat itu, benar-benar terasa hampirnya kematian. Terkenang kembali dosa-dosa diri. Takut mengingatkan diri yang belum bertaubat.. Saat itu barulah wajah ibu datang menyinggah..Tak sempat dah nak buat panggilan ke Malaysia.."

Selesai sahaja tazkirah tersebut, seorang sahabat perempuan UNAN tidak sedarkan diri. Matanya celik tetapi fikirannya tidak sedar apa yang berlaku. Dia langsung dibawa ke Hospital Putrajaya dan perlu dirujuk ke Psychiatrist di sana. Sahabat tersebut mengalami Post Trauma Syndrome yang kuat. Dia pitam dalam perjalanan ke sana.

Sahabat-sahabat UNAN menyimpulkan, peristiwa tersebut adalah amaran yang hebat dari Allah.. Di Padang,ramai yang beragama Islam, tetapi penuh dengan amalan-amalan khurafat.

Allahuakbar.. Gegaran yang teramat kecil di sisi Allah, tetapi tidak mampu tertanggung oleh kita, hamba yang teramat lemah.. Bayangkan diri sendiri yang berada dalam keadaan tersebut.. Adakah kita sudah bersedia dipanggil pulang menghadap Allah, dalam keadaan diri yang tidak lepas dari dosa? Taubat sering dimungkiri? Tangisan keinsafan berselang seli dengan nodanya hati?

Kita kenal hati kita.. Kita tahu amalan kita.. Kita sesungguhnya belum bersedia membawa segala rekod dan akaun amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah..

"Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri.. Seandainya Engkau tidak mengampuni dan merahmati kami, nescaya kami adalah dari orang-orang yang rugi.."




*Gambar: Kalimah Allah disaksikan tertera di langit, beberapa hari selepas kejadian.

No comments:

Post a Comment