Sunday, December 27, 2009

`Ibrah dari Mendaki Gunung

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah `azza wajalla.. Dalam Mukhayyam Khariji baru-baru ini, saya dan sahabat-sahabat akhawat berjaya menyelesaikan misi jungle trekking di Ulu Langat.

Kami bertolak masuk ke hutan lebih kurang jam 1.00 tengahari, berbekalkan beberapa bahan masakan mentah, sebatang lilin, beserta sebotol air mineral kecil, untuk tujuan air wudu' merangkap air minuman.



Perjalanan kali ini sarat dengan `ibrah, lebih-lebih lagi bersama sahabat-sahabat yang tidak putus mengingatkan kita kepada Allah.

Keadaan muka bumi yang curam menjadikan penerokaan kami lebih mencabar. Antara tips ketika mendaki, fokus pada kawasan yang dicengkam akar pokok untuk menjejakkan kaki, kerana struktur tanahnya lebih kuat. Kadang-kadang, saya terfikir, bagaimana Allah menciptakan gunung yang sebegitu tinggi dan besar dengan hanya tanah menjadi antara komponen utamanya. Tanah-tanah ini kemudiannya dicengkam akar-akar pokok berselang-seli dengan batu-batu hutan membentuk permukaan bumi yang sangat utuh. Tidak hancur apabila dipijak.. Tidak terusik apabila dilalui mata-mata air. Kumpulan-kumpulan binaan inilah yang Allah takdirkan sebagai pasak Bumi. Bermakna, Bumi ini terbina utuh berasaskan gunung-ganang sebagai pemegangnya.

Allahuakbar.. Baru tersedar besarnya nikmat dapat berpijak di atas tanah.

Bagaimana pula pada kejadian hari Qiyamah nanti, gunung yang dijadikan pasak ini akhirnya berterbangan di udara.. Dan ada pula yang dileburkan selebur-leburnya.. Seperti firman Allah:

"Dan apabila gunung-ganang diterbangkan di angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)" [Surah At-Takwir: 3]

"Dan gunung-ganang dileburkan selebur-leburnya" [Surah Al-Waqi`ah: 5]


Bagaimana pula takdirnya makhluk yang hidup dalam sistem-sistem yang berpasakkan gunung yang berterbangan tadi? Ke manakah tempat perlindungan kita nanti? Masih adakah tanah untuk kita menjejakkan kaki pada saat pasak Bumi telah hancur berterbangan umpama habuk-habuk kecil di udara?

"(Maka) Pada hari itu berkatalah manusia(yang ingkarkan hari Qiyamah): "Ke manakah hendak melarikan diri?". Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!Pada hari itu kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara"
[Surah Al-Qiyamah: 10-12]




Setelah lebih kurang 1 jam perjalanan, kami berhenti rehat di suatu kawasan lapang untuk menunaikan solat Zohor berjemaah dan menyiapkan makanan tengahari. Mendirikan solat dalam keletihan di tengah-tengah hutan belantara menghadirkan ruh solat yang berbeza dari hari-hari biasa. Ada akhowat yang berkata, "Rasa seperti seorang Mujahid di medan Jihad. Berhadapan dengan Allah dengan rasa pengharapan dan penyerahan diri betul-betul sebagai hamba yang lemah".

Ketika dahi sujud mencecah tanah, kami insafi asal usul penciptaan diri. Fasilitator kemudian membalas... Agaknya begitulah juga apa yang dirasakan sang tanah ketika dia dan kita bersentuhan. "Jasadmu tercipta dari nenek moyang kami. Dan pada kami jugalah jasadmu nanti akan disemadikan".

Namun, dari unsur yang sama ini, datangnya natijah yang berbeza. Wujudnya tanah dengan ketaatan mutlak seratus peratus kepada Allah. Hidupnya manusia pula, dengan dua pilihan; mentaati Allah atau mengingkari Allah. Dalam surah an-Naba' Allah gambarkan penyesalan manusia yang kufur semasa hidup di dunia:

"Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa, datangnya), -iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".
[Surah An-Naba': 40]

Seorang akhawat berkata, "Kamu perasan tak, sepanjang kita berjalan, kita cuma perlu ikut kesan kawah tapak kaki yang ada di tanah. Semakin jauh melengkung ke dalam kesan tapak tu, semakin mudah untuk kita mendaki kawasan curam. Cuma berpaut pada kawahan tapak tu.. Macam mana agaknya orang yang mula-mula meneroka gunung ni? Mesti jauh lebih payah dan mencabar". Begitulah juga perjalanan dakwah. Kita cuma perlu meneruskan perjuangan para da`ie yang terdahulu. Betapa mereka menempuhi cabaran yang teramat hebat bagi memastikan sampainya nikmat Islam kepada kita hari ini.

Perjalanan pulang kami lebih menerujakan apabila hujan mula turun. Alhamdulillah, setelah 3 jam berada di dalam hutan, kami berjaya keluar dengan selamat. Lega.. Risau juga kerana saya tidak menggunakan kasut sukan pada mukhayyam kali ni.



"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;..." [Surah Ali-Imran: 190]

".... Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". [Surah Ali-Imran: 191]

No comments:

Post a Comment